SEJARAH SKPAB

SEJARAH DAN LATAR BELAKANG SEKOLAH


    Sekolah Kebangsaan Penghulu Abu Bakar 09100 Baling Kedah Mula dibuka pada tahun 1921 hasil satu perjumpaan Penghulu Mukim penduduk pada 1 April.Terbentuklah jawatankuasa penaja yang terdiri daripada Penghulu Hj Abu Bakar b. Abdullah, tokoh guru agama tempatan, Haji Osman b. Haji Ahmad dan tokoh-tokoh tempatan ketika itu seperti Harun Tahir, Dato’ Panglima Hassan dan Ahmad Senik. Kumpulan pertama terdiri dari 60 orang murid (semuanya Melayu) berumur 9 hingga 16 tahun.Tenaga pengajar terdiri dari penghulu sendiri, Hj Osman b Ahmad, Ahmad b Senik, Harun b Tahir. Pembinaan sekolah secara bergotong-royong bertiangkan kayu berdindingkan buluh dan atap nipah. Sekolah ini dikenali sebagai ‘Bongor Malay School’. Pada 1 Jun 1921 sekolah telah dirasmikan Tuan Pegawai Daerah.Pada masa yang sama pihak pemerintah ketika itu (British) telah menghantar Guru Besar yang pertama, seorang guru dari Sungai Petani iaitu Mohd Saffar Bin Md Akib. Mata pelajaran yang diajar ialah Bahasa Melayu, Ilmu Kira-kira, Pelajaran Jawi, Al Quran serta Agama Islam. Pada tahun 1929 pihak kerajaan Inggeris telah membina bangunan batu dua tingkat dengan empat buah bilik darjah. Bangunan ini masih kekal hingga kini dikenali dengan ‘Blok A’. Apabila Jepun menakluki Tanah Melayu, sekolah ini tetap dibuka. Mata pelajaran Bahasa Jepun mula diperkenalkan. Dua tenaga pengajar Jepun disediakan. Pada tahun 1945 apabila Jepun menyerah kalah, sekolah dibawah pentadbiran British semula. Pada tahun 1958, dengan pertambahan murid, sebuah lagi bangunan baru dibina. Usaha ini diterajui oleh Penghulu ketika itu Hj Mohd Noor Bin Hj Awang Abd Rahman. Tahun 1968 sebuah lagi bangunan didirikan bagi menampung jumlah murid yang bertambah. Bangunan ini dikenali dengan ‘Blok B’. Sebuah lagi bangunan dibina kerajaan pada tahun 1978. Ini adalah hasil usaha Guru Besar, Ahmad b Harun dan juga wakil rakyat ketika itu, Dato’ Shafie Bin Abdullah. Hingga kini Sekolah Penghulu Abu Bakar yang dulunya dikenali Sekolah Kebangsaan Bongor mempunyai 5 buah bangunan yang terdiri dari blok A, B, C, D dan E. Disamping itu, sekolah juga mempunyai kemudahan yang lengkap seperti makmal ICT, kantin, padang bola dan gelanggang takraw. Pertukaran nama sekolah dari Sekolah Kebangsaan Bongor kepada Sekolah Kebangsaan Penghulu Abu Bakar di buat pada 1995. Nama ini difikirkan sesuai kerana Hj Abu Bakar adalah Penghulu dan pengasas sekolah ini. Sekolah ini telah melahirkan tokoh-tokoh terkenal di kalangan masyarakat setempat dan luaran. Antaranya Dato’ Hj Seroji Hj Harun, mantan Ahli Parlimen Baling. Ramai juga dari kalangan pelajar sekolah ini yang berjaya menutut hingga ke luar negara.